Jumaat, 4 Januari 2019

Sejarah

Sejarah Penubuhan Pusat Sumber Sekolah 


SK Dato’ Ahmad Manaf telah ditubuhkan pada tahun 1905, terletak di Kampung Chalet, Nilai, N.Sembilan. Pada asalnya sekolah ini dinamakan Sekolah Kebangsaan Sepang Road kerana pada masa itu negara masih di dalam jajahan Inggeris di mana nama ”Sepang Road” mengambil nama jalan di hadapan sekolah ini. Sekolah Kebangsaan Sepang Road telah dirasmikan oleh YB Encik Abdul Rahman b Talib iaitu Menteri Pendidikan pada masa itu.

Keluasan tanah sekolah ini ialah 4 ekar dan kedudukannya di lot tanah 123 Mukim Nilai. Menurut penduduk sekitar dan guru yang mengajar di sekolah ini, sekolah ini pada asalnya dibina bangunan dua bilik, berdinding kayu, berbumbung genting, berlantaikan simen dan berkemudahan air perigi. Dua unit rumah guru juga disediakan iaitu rumah untuk Guru Besar dan guru. Oleh kerana pertambahan murid, bangunan tambahan dibuat dengan usaha gotong royong orang-orang kampung. Maka terbinalah bangunan bangunan kayu-kayu beratapkan rumbia. Jumlah murid pada masa itu tidak ramai, pembelajaran secara kelas bercantum dan murid duduk di atas simen. Dalam tahun 1960-an muridnya telah bertambah lebih kurang 250 orang. Tetapi, apabila ramai penduduk yang terpilih masuk ke rancangan Felda, murid-muridnya turut berkurangan dan bilangan yang tinggal tidak sampai separuh dari yang asal.

Pada tahun 1996, bilangan murid mula bertambah sehingga 150 orang kerana pembangunan taman-taman perumahan berhampiran sekolah semakin pesat ekoran pembukaan Lapangan Terbang KLIA. Dari masa ke semasa setelah negara mencapai kemerdekaan dan sehingga ke hari ini, keadaan fizikal sekolah telah dibina dan dibaik pulih seperti yang terdapat sekarang dengan kemudahan asasnya dan bekalan air paip. Pada tahun 1999 bangunan tambahan mengandungi dua bilik telah dibina untuk menampung pertambahan murid yang meningkat sehingga 230 orang.

Pada awal tahun 1990-an penukaran nama sekolah kerapkali dibincangkan dalam mensyuarat PIBG kerana nama ”Sepang Road” tidak bersesuaian lagi pada masa ini. Permohonan untuk menukarkan nama sekolah telah dibuat. Pada peringkat awalnya pihak Pendaftaran Sekolah belum memberi kelulusan. Adun Kawasan Labu, YB Tuan Haji Shahlan b Mohd Shahid, mencadangkan agar nama sekolah ditukar kepada nama yang baru sempena nama Wakil Rakyat (ADUN) Labu yang pertama, hasil daripada keputusan mesyuarat Agung PIBG Kali Ke 23 pada 11 Mei 1997.

Melalui surat Ketua Pendaftaran Sekolah-Sekolah Malaysia yang bertarikh 19 Jun 1998 akhirnya Sekolah Kebangsaan Sepang Road bertukar nama dengan rasminya kepada ”Sekolah Kebangsaan Dato’ Ahmad Manaf”. Perasmian nama baru sekolah ini telah diadakan pada 1 November 1998 oleh YAB Dato’ Seri Utama Tan Seri Haji Mohd Isa bin Abdul Samad, Menteri Besar Negeri Sembilan pada masa itu.

Dengan pertambahan jumlah murid dari masa ke semasa, daripada sederet bangunan sekolah satu tingkat, sekolah ini mengalami transformasi dengan pembinaan bangunan baru iaitu pada tahun 2008. Bangunan sekolah yang lama telah dirobohkan untuk membina 2 blok bangunan baru sekolah yang akhirnya telah dapat diduduki pada tahun 2010. Dengan pembinaan bangunan baru ini, memberi kemudahan yang lebih selesa kepada semua warga sekolah dengan iaitu kelas yang mencukupi, bilik guru dan pejabat berhawa dingin dan tidak ketinggalan Pusat Sumber Sekolah yang berhawa dingin ditetapkan di tingkat 3 blok A. Dari masa ke semasa Pusat Sumber Sekolah ini juga mengalami transformasi dari segi fizikal dan pertambahan prasarana dan buku-buku untuk warga sekolah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan