Sejarah Penubuhan Pusat Sumber Sekolah
SK Dato’ Ahmad Manaf telah
ditubuhkan pada tahun 1905, terletak di Kampung Chalet, Nilai, N.Sembilan. Pada
asalnya sekolah ini dinamakan Sekolah Kebangsaan Sepang Road kerana pada masa
itu negara masih di dalam jajahan Inggeris di mana nama ”Sepang Road” mengambil
nama jalan di hadapan sekolah ini. Sekolah Kebangsaan Sepang Road telah
dirasmikan oleh YB Encik Abdul Rahman b Talib iaitu Menteri Pendidikan pada
masa itu.
Keluasan tanah sekolah ini
ialah 4 ekar dan kedudukannya di lot tanah 123 Mukim Nilai. Menurut penduduk
sekitar dan guru yang mengajar di sekolah ini, sekolah ini pada asalnya dibina
bangunan dua bilik, berdinding kayu, berbumbung genting, berlantaikan simen dan
berkemudahan air perigi. Dua unit rumah guru juga disediakan iaitu rumah untuk
Guru Besar dan guru. Oleh kerana pertambahan murid, bangunan tambahan dibuat
dengan usaha gotong royong orang-orang kampung. Maka terbinalah bangunan
bangunan kayu-kayu beratapkan rumbia. Jumlah murid pada masa itu tidak ramai,
pembelajaran secara kelas bercantum dan murid duduk di atas simen. Dalam tahun
1960-an muridnya telah bertambah lebih kurang 250 orang. Tetapi, apabila ramai
penduduk yang terpilih masuk ke rancangan Felda, murid-muridnya turut
berkurangan dan bilangan yang tinggal tidak sampai separuh dari yang asal.
Pada tahun 1996, bilangan murid
mula bertambah sehingga 150 orang kerana pembangunan taman-taman perumahan
berhampiran sekolah semakin pesat ekoran pembukaan Lapangan Terbang KLIA. Dari
masa ke semasa setelah negara mencapai kemerdekaan dan sehingga ke hari ini,
keadaan fizikal sekolah telah dibina dan dibaik pulih seperti yang terdapat
sekarang dengan kemudahan asasnya dan bekalan air paip. Pada tahun 1999
bangunan tambahan mengandungi dua bilik telah dibina untuk menampung
pertambahan murid yang meningkat sehingga 230 orang.
Pada awal tahun 1990-an
penukaran nama sekolah kerapkali dibincangkan dalam mensyuarat PIBG kerana nama
”Sepang Road” tidak bersesuaian lagi pada masa ini. Permohonan untuk menukarkan
nama sekolah telah dibuat. Pada peringkat awalnya pihak Pendaftaran Sekolah
belum memberi kelulusan. Adun Kawasan Labu, YB Tuan Haji Shahlan b Mohd Shahid,
mencadangkan agar nama sekolah ditukar kepada nama yang baru sempena nama Wakil
Rakyat (ADUN) Labu yang pertama, hasil daripada keputusan mesyuarat Agung PIBG
Kali Ke 23 pada 11 Mei 1997.
Melalui surat Ketua Pendaftaran
Sekolah-Sekolah Malaysia yang bertarikh 19 Jun 1998 akhirnya Sekolah Kebangsaan
Sepang Road bertukar nama dengan rasminya kepada ”Sekolah Kebangsaan Dato’
Ahmad Manaf”. Perasmian nama baru sekolah ini telah diadakan pada 1 November
1998 oleh YAB Dato’ Seri Utama Tan Seri Haji Mohd Isa bin Abdul Samad, Menteri
Besar Negeri Sembilan pada masa itu.
Dengan pertambahan jumlah murid
dari masa ke semasa, daripada sederet bangunan sekolah satu tingkat, sekolah
ini mengalami transformasi dengan pembinaan bangunan baru iaitu pada tahun
2008. Bangunan sekolah yang lama telah dirobohkan untuk membina 2 blok bangunan
baru sekolah yang akhirnya telah dapat diduduki pada tahun 2010. Dengan
pembinaan bangunan baru ini, memberi kemudahan yang lebih selesa kepada semua
warga sekolah dengan iaitu kelas yang mencukupi, bilik guru dan pejabat berhawa
dingin dan tidak ketinggalan Pusat Sumber Sekolah yang berhawa dingin
ditetapkan di tingkat 3 blok A. Dari masa ke semasa Pusat Sumber Sekolah ini
juga mengalami transformasi dari segi fizikal dan pertambahan prasarana dan
buku-buku untuk warga sekolah.